MOHAMAD B. ABD KARIM

MOHAMAD B. ABD KARIM

Ahad, 18 Oktober 2009

Sejarah British Di Tanah Melayu

Dasar Pecah Dan Perintah British Disebabkan Oleh Kehendak Bitish Dan Tidak Didorong Oleh Kaum-kaum Tanah Melayu.

Mohamad B.Abdul Karim UMS.

Pengenalan
Zaman kolonialisme British adalah zaman berlakunya eksploitasi kekayaan dan penindasan bagi golongan yang dijajah melalui konsep kebebasannya.
Pengeksploitasian yang berlaku hanya menguntungkan pihak kolonial British semata-mata manakala bagi masyarakat setempat pula, ianya terus berada pada takuk lama.
British mula menjajah Tanah Melayu pada tahun 1786 melalui perjanjian antara Sir Francis Light dengan Sultan Kedah. Selepas itu British terus meluaskan kuasa serta pengaruhnya di Kepulauan Melayu dan mereka juga menerokai serta mengeksploitasi hasil bumi di Tanah Melayu.

SEJARAH KEWUJUDAN TANAH MELAYU.

Bagi orang Cina, mereka telah pun datang ke Tanah Melayu sejak abad ke15 lagi melalui urusan perdagangan terutama di Melaka. Menjelang awal abad ke 19, penghijrahan orang Cina semakin bertambah dan faktor penghijrahan ini adalah disebabkan oleh dua faktor iaitu faktor penolakan iaitu keadaan politik dan sosial negara Cina serta faktor penarikan iaitu peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan mereka di negara ini.
Orang India pula mulai datang ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama. Mereka menamai Tanah Melayu sebagai “Suvarnabumi “ atau Tanah Emas. Namun begitu, mereka hanya berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu pada penghujung abad
ke 19 akibat perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu ( Muhd.Amin Hassan,1996).

DASAR PECAH DAN PERINTAH BRITISH

Pengasingan Penempatan iaitu kaum-kaum di Tanah Melayu tinggal berasingan mengikut kagiatan ekonomi iaitu kaum Cina tinggal dikawasan pemacu ekonomi di bandar, kaum India pula diletakkan dikawasan perladangan aktiviti pertanian yang terletak diluar bandar. Hanya golongan Elit Melayu sahaja yang diterima bekerja dengan pejabat pentadbiran British ( Ruslan Zainuddin, 2000).
Hal ini juga telah menimbulkan pengasingan agama iaitu Orang Melayu beragama Islam. Orang Cina menganut agama Budha dan Kristian manakala kaum India beagama Hindu. Kebanyakan penduduk bumuputera Sabah dan Sarawak pula adalah beragama Kristian dan Islam.
Pengelasan kaum mengikut jenis pekerjaan dan sistem pelajaran yang berbeza telah mengurangkan tahap interaksi penduduk Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai rumpun etnik yang berbeza.



POLITIK

Setelah kedatangan Inggeris di Tanah Melayu, kuasa Raja dan Sultan telah terjejas dan menjadi terhad. Raja atau Sultan hanya boleh mnyentuh hal-hal mengenai adat istiadat Melayu dan hal-hal keagamaan sahaja ( Kassim Thukiman,2002)
Bagi orang Cina dan India, mereka tidak terlalu memikirkan kedaan politik yang berlaku di Tanah Melayu kerana apa yang dipentingkan oleh mereka adalah kegiatan ekonomi mereka. Inggeris telah berjaya mentadbir dengan lancar melalui dasar pecah dan perintah kerana tiada lagi gangguan secara langsung daripada sultan dan pembesar tempatan. British telah menjadikan orang Melayu terus hidup ditakuk lama iaitu berkhidmat dan taat setia kepada Sultan serta pembesar.
Dasar pecah dan perintah adalah kehendak British kerana mereka telah berjaya mengurangkan kuasa pembesar tempatan selain tidak melibatkan campurtangan daripada pembesar Melayu dalam politik. Penglibatan masyarakat setempat iaitu kaum Melayu didalam bidang politik adalah terhad kepada jawatan rendah. Bagi kaum Cina dan India, mereka tidak terlibat secara langsung terhadap politik Tanah Melayu dan ini memudahkan pentadbiran Inggeris mengikut kaum-kaum tersebut.

EKONOMI

Dasar ekonomi British melalui dasar pecah dan perintah telah mengasingkan setiap kaum mengikut aktiviti ekonomi yang tersendiri. Masyarakat tradisional melayu telah pun melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi saradiri sebelum kedatangan pihak British lagi.
Apabila berlaku perluasan kuasa Inggeris, sistem ekonomi komersial diperkenalkan dan masyarakat Melayu kekal mengusahakan kegiatan ekonomi sara diri. Melalui dasar ini, orang Melayu tetap ditempatkan dikediaman asal iaitu perkampungan atau luar bandar.
Alasan mereka menempatkan orang melayu diluarbandar adalah kukuh dan mereka telah berjaya menjadikan bangsa Melayu terus mundur dan mewarisi kemiskinan keluarga
( A.Azmi Khalid,1996).
Sebelum kedatangan pihak British, perusahaan lombong bijih timah ini telah domonopoli oleh saudagar-saudagar Cina hampir setengah abad lamanya. Sejak pertengahan abad yang ke 18 sehingga akhir abad tersebut hampir seluruh perusahaan lombong bijih timah di Tanah Melayu dimiliki oleh orang-orang Cina. Inggeris lebih menumpukan kegiatan ekonomi yang berorientasikan eksprot. Ini telah mendorong pelabur-pelabur asing datang ke Tanah Melayu dan membawa teknologi serta sistem pengurusan ekonomi yang lebih sistematik.
Perkembangan perusahaan getah dan galakan daripada kerajaan British merupakan faktor penarikan yang menarik oran India ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi yang wujud dalam sektor ini kepada orang India adalah disebabkan oleh keengganan orang Melayu untuk bekrja diladang getah. Selain itu, dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan tenaga buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya juga menarik kehadiran orang India ke Tanah Melayu.



British telah mengasingkan setiap kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India kepada penempatan dan corak ekonomi masing-masing. Melalui pengasingan ini, pihak British mudah untuk mengawal dan menghapuskan perpaduan semua kaum. Pecahan kaum ini juga akan memudahkan kerja mereka mengeksploitasikan hasil bumi Tanah Melayu melalui penarapan budaya dan cintakan negara asal mereka. Contohnya, orang Cina yang tidak langsung memikirkan keuntungan kepada Tanah Melayu sebaliknya mereka diterapkan dengan nilai dan budaya negara asal mereka iaitu tradisi mengutamakan pelajaran dan mengekalkan kebudayaan serta identiti bangsa Cina ( Victor Purcell,1985).
Dasar pecah dan perintah yang diterapkan oleh pihak British sengaja dibuat kerana pihak British hanya mahu menjaga kepentingan ekonomi mereka dan memudahkan lagi kerja mereka mengaut keuntungan diTanah Melayu melalui perah tenaga ketiga-tiga kaum ini.

SOSIAL

Kedatangan British ke Tanah Melayu telah membawa perubahan yang besar dari segi sosial seperti pembinaan jalan raya yang merentasi daerah pedalaman, kewujudan kawasan serta pembukaan bandar-bandar baru. Pengangkutan keretapi diperkenalkan di Tanah Melayu pada lewat kurun ke19 dan tujuannya adalah untuk mempercepatkan pengangkutan bijih timah dari kawasan lombong ke pelabuhan-pelabuhan disepanjang pantai. Namun begitu, perubahan ini tidak mendapat dikecapi oleh semua kaum yang ada di Tanah Melayu terutama kaum Melayu dan Bumiputera Sabah., Sarawak.
Hal ini kerana perubahan sosial banyak berlaku dibandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Larut dan Jesselton atau Kota Kinabalu.

PENDIDIKAN

Kerajaan British mengamalkan dasar ‘laiserz-faire’ dengan membiarkan tiap-tiap sistem persekolahan itu berkembang mengikut haluan masing-masing, Kesannya telah mewujudkan empat sistem persekolahan yang berbeza dinegara kita pada masa itu. Hal ini menyebabkan jurang ekonomi dan sosial yang semakin ketara dikalangan rakyat yang berbilang kaum. Kaum Melayu dengan sekolah pondok yang bersifat tradisional memperlihatkan mutu pendidikan yang amat terbatas dan sekolah-sekolah melayu ini didirikan atas daya usaha orang perseorangan.
Manakala kaum Cina dengan sekolah Cina yang diusahakan oleh sukarelawan Cina. Sekolah Tamil pula diuruskan oleh kaum India dan sekolah Inggeris pula diurus oleh mubaligh-mubaligh kristian. Matlamat utama sistem pendidikan British ialah semata-mata untuk memberikan pendidikan kepada segolongan rakyat bagi membolehkan sebahagian daripada mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi.
Pendidikan pada peringkat ini telah berjalan secara ad hoc tanpa dibendung oleh satu garis panduan atau batasan-batasan yang konkrit. Ini adalah kerana pemerintahan Inggeris tidak menganggap pendidikan sebagai satu pelaburan yang menguntungkan sebaliknya untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan rakyat tempatan bagi mencapai tujuan eksploitasi mereka sahaja.



Objektif pemerintahan Inggeris adalah bukan hendak mengubah atau memajukan struktur sosial tetapi sekadar menjadikan keadaan struktur sosial yang sedia ada itu sedikit efisien sahaja. Terdapat lima aliran bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina, Inggeris, Arab, dan Tamil. Sistem pendidikan plural ini tidak dapat menyemai serta memupuk semangat kebangsaan dikalangan penduduk yang berbilang kaum ( Zulhilmi Paidi & Rohani A.Ghani,2003 )

a) Pendidikan Melayu.
Pendidikan Melayu menekankan pengajaran ai-Quran dan pengetahuan asas membaca,menulis dan mengira. Pendidikan Melayu adalah hanya diperingkat rendah sahaja dan bagi anak-anak Melayu yang bercita-cita tinggi serta ingin melanjutkan pelajaran terpaksa memasuki Sekolah Menengah Inggeris dibandar. Tujuan utama sekolah-sekolah Melayu diasaskan pada abad ke19 dan awal ke20 ialah untuk membolehkan anak-anak Melayu terus kekal didesa, mewarisi kemiskinan keluarga. Pendidikan Melayu tidak dapat mengubah cara hidup orang Melayu atau menyumbangkan kepada mobiliti menegak dikalangan masyarakat Melayu. Pada awal abad ke20, bagi menampung permintaan yang bertambah terhjadap Pendidikan Menngah Maktab Melayu Kuala Kangsar diasaskan mengikut model English Grammer School pada tahun 1905.

b) Pendidikan Arab dan Agama.
Sekolah ini dikendalikan secara tidak formal dan kurikulumnya menekankan pengajaran al-Quran serta pendidikan moral dan kerohanian. Selepas perang dunia pertama, sekolah-sekolah Arab dan Agama telah muncul dimerata-rata tempat di semenanjung Tanah Melayu terutama dinegeri Kelantan, Kedah, Terenganu dan Pulau Pinang.

c) Pendidikan Cina.
Selaras dengan tradisi mengutamakan pelajaran dan mengekalkan kebudayaan serta identiti bangsa, masyarakat Cina bergiat menubuhkan sekolah Cina sejak awal ke19. Kurikulumnya berorientasikan negara Cina dan buku-buku teks serta guru-guru juga dibawa masuk dari negara China. Pada tahun 1920an pengaruh kuat sekolah Cina telah menyedarkan kerajaan Inggeris tentang bahaya pertumbuhan sekolah Cina tanpa kawalan. Oleh itu, pentadbiran Inggeris mula memperkenalkan satu undang-undang pada tahun 1920 iaitu mewujudkan Enekmen Pendaftaran Sekolah dengan tujuan untuk mengelakkan sekolah ini daripada terasing serta mengawal aktiviti sekolah ini.

d)Pendidikan Tamil.
Sekolah-sekolah Tamil didirikan diladang-ladang getah yang sebahagian besar menempatkan kaum keturunan India. Pihak kerajaan atau majikan ladang getah tidak memberi bantuan sama ada dari segi fizikal, kewangan dan pedagogi. Oleh itu sekolah-sekolah Tamil yang didirikan diladang-ladang getah menghadapi beberapa kekurangan dari segi kurikulum, tenaga pengajar dan pedagogi. Sekolah ini tidak berkepentingan dan bersifat ‘cul-de-suc’iaitu sebahagian besar pelajarnya akan kekal diladang getah dan menjadi buruh kasar. Selepas itu, Mubaligh Kristian juga banyak memberi sumbangan kepada perkembangan pendidikan Tamil.
Kurikulum disekolah-sekolah Tamil ini disesuaikan mengikut negeri India termasuk guru serta buku-buku teks telah dibawa masuk dari India.

e) Pendidikan Inggeris
Pendidikan aliran Inggeris mula diperkenalkan di Tanah Melayu apabila Penang Fee School ditubuhkan pada tahun 1816. Pada pertengahan abad ke 19, mubaligh-mubaligh kristian membantu menubuhkan beberapa buah sekolah Inggeris dan kebanyakan sekolah ini ditubuhkan dikawasan-kawasan bandar dengan bantuan kerajaan Britsh. Kurikulumnya bercorak Kurikulum grammer school of Great Britain dengan tujuan melahirkan pegawai-pegawai tadbir rendah bagi memenuhi keperluan kuasa metropolitan British. Pendidikan di sekolah-sekolah Inggeris diadakan pada peringkat rendah dan menengah. Bagi memenuhi keperluan guru pelatih, program latihan guru kelas normal dimulakan di Kuala Lumpur pada tahun 1905 dan Pulau Pinang pada tahun 1907. Kesan daripada pengasingan pendidikan telah mewujudkan empat sistem persekolahan yang berbeza. Hal ini menyebabkan jurang ekonomi dan sosial yang semakin ketara dikalangan rakyat yang berbilang kaum.

Matlamat utama sistem pendidikan British ialah semata-mata untum memberi pendidikan kepada golongan rakyat tertentu bagi membolehkan sebahagiamn daripada mereka memenuhi keperluan tenaga kerja dan menjana ekonomi. Pengasingan sistem pendidikan juga jelas menunjukkan bahawa dasar pecah dan perintah adalah strategi British untuk mengeksploitasikan kekayaan Tanah Melayu.

PENILAIAN

Dasar pemerintahan Inggeris yang mengamalkan kaedah ‘divide and rule ‘ atau pecah dan perintah telah menimbulkan implikasi yang buruk terhadap perpaduan masyarakat Malaysia. Pengelasan kaum mengikut jenis pekerjaan dan sistem pelajaran yang berbeza telah mengurangkan tahap interaksi penduduk Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai rumpun etnik yang berbeza. Tindakan penjajah yang mengasingkan kaum mengikut bidang ekonomi dan persekitaran tempat tinggal, telah menimbulkan kecurigaan diantara satu kaum dengan kaum yang lain. Tindakan penjajah yang mengasingkan kaum mengikut bidang ekonomi dan persekitaran tempat tinggal, telah menimbulkan kecurigaan diantara satu kaum dengan kaum yang lain. Oleh itu, secara keseluruhannya berdasarkan fakta telah jelas bahawa dasar pecah dan perintah British adalah kehendak British sendiri dan bukannya didorong oleh kemahuan kaum-kaum utama di Tanah Melayu. British lebih cendurung menggalakkan setiap kaum mengamalkan dan mengekalkan sistem pendidikan tradisional dari negara asal mereka.
Manakala bidang ekonomi pula, British sengaja memisahkan kaum-kaum bagi mengekalkan dan menyekat sebarang usaha penyatuan yang membawa risiko penentangan terhadap penjajah. Inggeris. Juga mengekalkan penduduk peribumi dikampung-kampung serta mengekalkan aktiviti pertanian orang Melayu bagi memastikan bekalan makanan penduduk Tanah Melayu tidak terjejas.

2 ulasan:

  1. Salam, boleh tak saya dapat kan Bibliografi penuh untuk penulisan di atas

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum, boleh saya dapatkan bibliografi penuh?

    BalasPadam